Cara Mengawal Kencing Manis (Diabetes)

December 28, 2008 by admin  
Filed under Bahasa Malaysia

Dr. Noraziah Abd. Kadir Jailani.
Pakar Perubatan Am dan Dermatologi, Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam, Selangor.

Perubahan Cara Hidup

Perubahan cara hidup mampu mengelakkan kencing manis dan mengawal tahap gula dalam darah. Pesakit kencing manis dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan dan mengawal kencing manis dengan melakukan beberapa perkara seperti di bawah.

  • Pemakanan
    Pemakanan berkarbohidrat dan gula seharusnya dikurangkan supaya pengambilan kadar kalori pada sesehari itu terkawal. Berbincanglah dengan doktor atau pakar pemakanan untuk cara diet yang terkawal.
  • Senaman
    Senaman penting untuk membantu mengurangkan berat badan dan juga menambahkan kesihatan jantung dan paru-paru (kardiorespiratori). Senaman perlu dimulakan secara beransur-ansur dan dengan nasihat doktor.
  • Penjagaan berat badan
    Pesakit yang mempunyai berat badan berlebihan akan mendapati tahap gula dalam badan sukar dikawal. Terdapat pesakit yang boleh menghentikan ubat kencing manis apabila berat badan dapat dikawal.
  • Pemeriksaan diri sendiri
    Pesakit kencing manis dinasihatkan membuat pemeriksaan sendiri terutamanya pada jari dan kaki yang kebas untuk tanda luka atau jangkitan kerana deria rasa sakit berkurangan. Ini membolehkan rawatan awal agar jangkitan tidak merebak.

Pemeriksaan Doktor dan Ubat

Pemeriksaan oleh doktor untuk memastikan kadar gula dalam darah mesti dilakukan secara berterusan. Ini membolehkan penghidap kencing manis memastikan bahawa tahap gula dalam darah adalah terkawal. Dianggarkan bagi setiap 1 peratus pengurangan kadar ujian darah A1 C, mampu menurunkan masalah berkaitan kencing manis sebanyak 40 peratus. Penjagaan anggota kaki dan tangan mampu mengurangkan kes anggota badan perlu dipotong disebabkan oleh komplikasi jangkitan sebanyak 45 hingga 85 peratus.

Kekerapan membuang air kecil boleh disebabkan oleh beberapa faktor seperti:
- Kencing manis yang tidak terkawal dan tahap gula tinggi dalam darah
- Jangkitan kuman atau kencing kotor
- Kerosakan buah pinggang
- Masalah pundi kencing sama ada gangguan saraf atau masalah pundi kencing seperti pundi kencing yang terlalu aktif, disyorkan agar berjumpa doktor untuk pemeniksaan selanjutnya.

SMART: Pengurusan baru asma

December 28, 2008 by admin  
Filed under Bahasa Malaysia

Oleh Prof. Liam Chong-Kin (Presiden Pertubuhan Torasik Malaysia)

BATUK. Berdehit. Dada berasa ketat. Kesukaran bernafas. Ini merupakan beberapa gejala yang sering dijelaskan oleh Puan Aminah (bukan nama sebenar) dan ramai lagi penghidap asma – kadangkala setiap hari – akibat kawalan asma yang tidak baik.

Bagi Puan Aminah dan dua juta rakyat Malaysia yang menghidap asma, gejala-gejala ini telah menjadi kebiasaan serta cenderung meningkat sekiranya tidak dikawal dengan betul.

Asma adalah keadaan di mana terdapat keradangan kronik pada saluran pernafasan. Apabila terdedah pada sesetengah penyebab alahan, saluran pernafasan membengkak dan sempit, menyebabkan gejala asma.

Mereka yang menghidapi asma mengalami penderitaan pada kadar purata tiga hingga lima hari bagi setiap serangan akut di mana asma mereka tidak terkawal. Kenyataannya, lebih kurang 20 episod serangan asma dialami oleh setiap orang dewasa setiap tahun.

Ini mungkin kelihatan sedikit, namun serangan ini amat melesukan bagi seorang pesakit asma yang terpaksa ditahan di hospital dan menyebabkan aktiviti harian mereka terganggu.

Kenapa serangan ini berlaku?

Keradangan serta kesempitan saluran pernafasan menyebabkan batuk, berdehit, dada berasa ketat serta pernafasan yang tersekat-sekat.

Keradangan salur pernafasan adalah punca masalah ini. Malangnya, kebanyakan penghidap asma mengabaikan rawatan radang walaupun diarahkan oleh doktor.

Kebanyakan penghidap asma mengalami gejala-gejala tertentu sebelum serangan berlaku. Namun masalahnya, mereka terlampau bergantung kepada alat penyembur pelega berwarna biru, sehingga mengabaikan alat sedut pencegah.

Penghidap asma perlu memahami bahawa kedua-dua ubat pencegah dan pelega diperlukan untuk kawalan asma yang betul.

Kedua-duanya mempunyai fungsi tersendiri dan tidak boleh ditukar ganti, dan inilah sebabnya kenapa ramai yang bergantung sepenuhnya kepada alat sedut pelega biru tidak melihat sebarang perubahan pada keadaan mereka.

Ubat pencegah merawat punca keradangan, dan patut digunakan setiap hari bagi tujuan pencegahan. Alat penyembur pelega berwarna biru hanya digunakan apabila perlu – selalunya apabila saluran pernafasan menjadi sempit untuk kelegaan cepat.

Adalah penting untuk mengingati bahawa alat penyembur biru tidak merawat keradangan, dan pergantungan melampau tidak akan membantu pengawalan asma.

Pengurusan asma yang betul memerlukan para penghidapnya menggunakan kedua-dua ubat kerana merawat keradangan adalah langkah perlu dalam mengawal asma agar serangan dapat dicegah.

Ramai pesakit gagal memahami kepentingan menggunakan kedua-dua ubat sebagai sebahagian pengurusan asma mereka. Ramai pesakit tidak dapat membezakan fungsi ubat yang berlainan warna, dan penggunaan pelbagai ubat mengelirukan sesetengah mereka.

Terapi pencegah dan pelega dengan satu alat sedut

Sekiranya punca masalah ada pada keradangan saluran pernafasan, maka penyelesaiannya adalah mencegah atau mengawal keradangan ini.

Kunci kepada pengurusan asma yang betul dan pencegahan serangan adalah memberikan rawatan awal serta secukupnya bagi punca keradangan salur pernafasan.

Para pesakit asma perlu mendapatkan nasihat pakar perubatan untuk mengetahui cara terbaik merawat asma mereka.

Tinjauan International Asthma Patient Insight Research (INSPIRE) mendapati para pesakit mahukan kelegaan segera dari terapi asma mereka; dan majoritinya memilih untuk bergantung kepada satu alat penyembur dan mengurangkan ubat-ubatan lain.

Pakar perubatan hari ini, menuruti panduan Global Initiative for Asthma (GINA) dan akan merawat pesakit asma berdasarkan kawalan dan bukan tahap asma.

Pendekatan terbaru kepada pengurusan asma dikenali sebagai Single inhaler Maintenance And Reliever Therapy – atau mudahnya SMART. SMART ialah terapi pencegah dan pelega dengan satu alat sedut.

Dengan SMART, pesakit asma hanya memerlukan satu alat sedut kerana ia memberi kedua-dua dos pencegah harian serta pelega sekiranya diperlukan.

Alat sedut baru ini mudah dikenali oleh warnanya – alat sedut merah turbuhaler – yang membezakannya dari ubat yang kini digunakan. Keperluan bergantung kepada satu alat sedut sahaja bermakna para pesakit asma tidak lagi keliru seperti dahulu.

Penyelidikan klinikal yang terperinci telah dilakukan untuk pendekatan baru ini. Lebih dari 14,000 pesakit seluruh dunia, termasuk rakyat Malaysia telah mengambil bahagian dalam program pembangunan klinikal SMART.

Hasilnya menunjukkan bahawa SMART memberi kawalan asma menyeluruh yang lebih baik serta mengurangkan risiko serangan asma yang serius.

Bukan tentang perubatan sahaja

Dengan pendekatan SMART, pesakit asma boleh mengharapkan kelegaan segera, kawalan asma yang lebih baik serta peningkatan kualiti hidup bagi jangka masa panjang.

Akan tetapi, beberapa perubahan kecil mampu merubah pelbagai keadaan. Para pesakit asma boleh mempraktikkan beberapa langkah mudah untuk membantu dalam kawalan asma mereka.

1. Dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu – setelah mendapat diagnosis yang betul, barulah terapi pengurusan asma yang terbaik bagi seseorang pesakit dapat disyorkan.

2. Awasi gejala asma anda – kenali gejala asma anda dengan baik serta perhatikan reaksi tubuh anda. Bertindak segera untuk mengawal asma anda.

3. Kenali ubat-ubatan anda – patuhi nasihat doktor mengenai perubatan asma, dan bila anda perlu mengambilnya. Anda boleh memudahkan pengurusan asma anda dengan menguna turbuhaler merah cara SMART dan bukan pelbagai alat sedut.

4. Jauhi faktor-faktor cetusan asma – asma adalah penyakit yang berubah-ubah; banyak faktor boleh mencetuskan serangan, oleh itu awasi punca serangan anda. Adakah ia asap rokok, habuk, pencemaran atau sesetengah jenis makanan?

Mesejnya, jangan biarkan asma mengawal anda. Sebaliknya, anda boleh mengawal asma anda!

Mengatasi Stress (Tekanan)

December 28, 2008 by admin  
Filed under Bahasa Malaysia

Stres adalah respon tubuh seseorang dalam menghadapi pelbagai tuntutan dalam kehidupan. Tuntutan-tuntutan tersebut mungkin merupakan perkara-perkara yang datang dari luar (misalnya: surat pinjaman bank yang tertunggak, teman, pekerjaan, atau hubungan dengan pasangan), atau mungkin juga datang dari fikiran sendiri (misalnya: bagaimana penilaian terhadap diri sendiri). Stres seringkali dicap sebagai sesuatu perkara yang buruk. Namun sesungguhnya setiap orang memerlukan sedikit tekanan agar mereka memiliki hidup yang lebih baik.

Teknik atasi stress yang sihat, antara lain:

  1. Tidur Sejenak
    Tidur sejenak selama 30 – 45 minit akan menyegarkan tubuh kembali. Orang-orang ternama yang memanfaatkan tidur siang untuk menangani stres adalah John F. Kennedy, Thomas Edison dan Salvador Dali.
  2. Pengurutan
    Anda boleh mengunjungi seorang pakar urut profesional ataupun meminta pasangan atau seorang sahabat untuk mengurut otot-otot leher dan bahu anda.
  3. Mengekspresikan diri secara artistik
    Jadilah orang yang kreatif dan alihkan energi anda secara positif. Anda boleh cuba untuk belajar akting, atau memainkan alat muzik, mengambil gambar, melukis, menulis puisi ataupun menyanyi. Muzik adalah media pereda stres yang sangat baik. Memainkan alat muzik atau cuma sekadar mendengar muzik sangat membantu untuk melegakan stres.
  4. Kerap ketawa
    Cara ini bukan rahsia lagi. Tertawa boleh menyebabkan stres yang ada hadapi menjadi lebih ringan. Sentiasa tunjukkan ekspresi yang menyenangkan diwajah anda.
  5. Bersikap lembut terhadap diri sendiri
    Sama ada disedari atau tidak, sebenarnya kita secara terus-menerus berbicara kepada diri kita sendiri. Berbicara kepada diri sendiri menunjukkan perilaku dan citra diri. Anda boleh mengubah kedua-dua perkara tersebut melalui pembicaraan yang positif kepada diri anda sendiri. Malahan pembicaraan tersebut boleh menyebabkan perubahan terhadap proses kimiawi tubuh yang menguntungkan, dengan cara mengaktifkan sistem saraf yang menimbulkan relaksasi. Sebaliknya, pembicaraan yang negatif kepada diri sendiri akan menyebabkan rangsangan terhadap sistem saraf simpatik dan menyebabkan tubuh berasa kelelahan.

Atasi stres anda. Hidup dengan sihat dan ceria.

Kurang Tidur Boleh Tambah Berat Badan

December 28, 2008 by admin  
Filed under Bahasa Malaysia

Sekumpulan penyelidik Amerika Syarikat cuba mencabar tanggapan yang menyatakan tidur yang kurang menyebabkan individu mudah kurus apabila mendakwa amalan itu sebaliknya boleh menambah berat badan seseorang.

Sejak bertahun lamanya, pakar berat badan menekankan kepentingan mengambil makanan berkalori rendah dan senaman yang secukupnya.

Namun, kajian terbaru Universiti Chicago menunjukkan faktor ketiga bagi mengawal berat badan – mendapat tidur yang secukupnya pada waktu malam.

Malah, dua kajian yang disiarkan semalam mendapati, sukarelawan yang terbabit dalam penyelidikan dengan tidak mendapat tidur mencukupi, mempunyai sejenis hormon yang kadarnya tinggi dan mencetuskan rasa lapar.

Mereka juga dikesan mempunyai sejenis hormon pada paras rendah yang menyebabkan seseorang itu berasa kenyang.

“Sehubungan itu, kami mengesyorkan mana-mana program pengurangan berat badan turut memasukkan faktor mendapat tidur yang secukupnya sebagai salah tips berguna,” kata pakar tidur universiti berkenaan, Dr Esra Tasali, yang turut terbabit menghasilkan kajian itu.

Satu kajian membabitkan 18,000 dewasa yang dikeluarkan bulan lalu oleh Pertubuhan Kajian Obesiti Amerika Utara mendapati, mereka yang menikmati tidur kurang empat jam semalam, adalah 73 peratus lebih mudah untuk obese atau gemuk berbanding mereka yang tidur tujuh hingga sembilan jam lamanya.

Kajian terbaru yang dikeluarkan semalam turut menemui hasil hampir sama apabila membabitkan penyelidikan ke atas 1,024 sukarelawan.

Daripada jumlah, 14.9 peratus responden yang tidur hanya lima jam mencatatkan hormon ghrelin yang meningkatkan selera makan.

Mereka yang kurang tidur turut mencatat penurunan hormon leptin yang menyebabkan seseorang itu berasa kenyang.

Dalam kajian itu, penyelidik mendapati tahap optimum tidur bagi tujuan mengawal berat badan adalah purata 7.7 jam.

“Tindakan mengurangkan waktu tidur hanya membuatkan selera makan meningkat dan makan berlebihan.”

Perokok Lelaki Kurang Sperma

December 28, 2008 by admin  
Filed under Bahasa Malaysia

LONDON: Lebih dua setengah juta lelaki di Britain menghadapi risiko tinggi kurang subur dengan meneruskan tabiat merokok, pengambilan minuman keras, dan makan terlalu banyak.

Doktor berkata, lelaki perlu memulakan gaya hidup lebih sihat untuk meningkatkan peluang mereka memiliki anak.

Satu tinjauan mendedahkan angka lelaki yang mempunyai bilangan sperma rendah begitu mengejutkan.

Akhbar Daily Mail melaporkan, penyelidik sudah menemui peningkatan bilangan lelaki yang dirawat kerana masalah kesuburan, sesuatu yang sebelum ini dianggap sebagai masalah wanita.

Di kalangan pasangan yang mempunyai masalah kesuburan, anggaran 40 peratus kes disebabkan pasangan lelaki.

Pakar mendapati kualiti dan kuantiti sperma lelaki menurun dan menjangkakan dalam masa sedekad lagi, satu dalam setiap tiga pasangan akan memerlukan rawatan kesuburan.

Beberapa kajian lain menunjukkan purata kadar sperma menurun lebih separuh.

Puncanya masih belum diketahui walaupun pakar mengesyaki faktor gaya hidup seperti alkohol dan penggunaan dadah, kurang bersenam dan kegemukan menyumbang kepada masalah itu. – Agensi

Faktor lain termasuklah pencemaran, penggunaan racun serangga dan hormon wanita dalam bekalan air minum.

Tinjauan oleh doktor Britain dan pesakit mereka mendapat sembilan peratus lelaki Britain iaitu 2.5 juta berdepan masalah bilangan sperma rendah.

Hampir separuh doktor – 44 peratus – mendakwa merokok ialah punca utama, menurut tinjauan yang dilakukan bagi Kesatuan Penjagaan Kesihatan Norwich.

Hampir satu bagi setiap 10 berkata, pengambilan alkohol menjejaskan bilangan sperma walaupun sebelum pengenalan perubahan lesen yang akan membawa kepada tempoh minum lebih panjang.

Dua daripada tiga doktor mahukan orang awam lebih menyedari isu itu tetapi 90 peratus berkata mereka tidak mempunyai masa membuka klinik kesuburan lelaki atau perkhidmatan seumpamanya.

Dr Ann Robinson berkata, tinjauan itu adalah satu amaran kepada penduduk muda Britain.

“Gaya hidup ialah sumbangan terbesar kepada kesihatan dan kesuburan lelaki cuma satu bidang yang terjejas oleh gaya hidup tidak sihat.

“Keputusan ini amat memeranjatkan dan sepatutnya menjadi alat penggera kepada lelaki dan wanita supaya menyedari minum dan merokok terlalu banyak boleh menjejaskan kemampuan memiliki keluarga,” katanya.

Pesakit Buah Pinggang Berisiko Menderita Mati Pucuk

December 28, 2008 by admin  
Filed under Bahasa Malaysia

Buah pinggang antara organ terpenting dalam tubuh manusia. Seandainya organ penting itu mengalami kerosakan, ia tiada galang gantinya kecuali melakukan pemindahan buah pinggang dari penderma atau penderita perlu menjalani hemodialisis sepanjang hayat.

Tahukah anda, buah pinggang milik lelaki mempunyai peranan penting dan berkait rapat dengan kemampuan seksual pemiliknya berbanding wanita.

Walaupun perkembangan perubatan moden mampu menyediakan pelbagai jenis ubat untuk membantu masalah ketidakmampuan dalam perhubungan seksual kaum lelaki namun keperkasaan seorang lelaki berkait rapat dengan sistem saraf, testis dan sistem pembuluh darah di mana organ-organ ni berhubung terus dengan keaktifan buah pinggang mereka.

Kebarangkalian pesakit buah pinggang kronik menderita impotensi kelamin adalah besar. Secara tidak langsung, penderita sakit ini selain mengalami kurang darah dan kadar pHnya turun, pembuluh darah juga akan menyempit akibat dari hipertensi yang sekian lama bersarang di tubuh penderita. Ia juga tidak mengecualikan pembuluh darah di zakar.

Seperti kita sedia makium, penderita sakit buah pinggang menanggung banyak masalah. Dari segi fizikal, selain mengalami perubahan perubahan fizik seperti di atas, penderita juga mudah terkena jangkitan pada saluran kemih (traktus urinarius). Dan ini juga mengakibatkan mental mereka terganggu. Gangguan mental mungkin berlaku dan ia ada kalanya berpunca daripada terlalu memikirkan perbelanjaan besar yang perlu dicari untuk mengubati penyakit ini. Faktor mental ini kemudiannya akan menjadikan penderita sakit buah pinggang mengalami kehilangan ghairah seksnya.

Selalunya penderita sakit buah pinggang tidak memikirkan soal seksual lagi. Secara automatik, fikiran mereka terputus terhadap hubungan kelamin kerana terlalu memikirkan bagaimana buah pinggangnya boleh berfungsi semula. Sakit buah pinggang boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira usia atau jantina seseorang. Sesiapapun boleh disinggahinya. Bagi yang masih muda, masalah seks tidak boleh diabaikan begitu sahaja. Untuk mengatasinya, pesakit haruslah mendapatkan rawatan psikoterapi kerana masalah seks ini timbul akibat gangguan psikologi penanggungnya.

Banyak faktor yang menjadi penyebab sakit buah pinggang. Munculnya batu karang juga boleh mengakibatkan sakit buah pinggang menjadi lebih kronik. Begitu juga bagi mereka yang yang sering menghidapi tonsil. Penyakit ini mesti diubati sehingga pulih. Jika dibiarkan berlarutan boleh menyebabkan radang buah pinggang (glumerulo nephritis) di mana akhirnya boleh mendatangkan sakit buah pinggang yang serius. Jika didapati mata anak anda bengkak-bengkak, bergegaslah ke doktor sehingga dapat diketahui dengan pasti apakah penyebabnya dan apakah ia terjadi kerana masalah atau kelainan pada buah pinggang.

Penderita sakit buah pinggang perlu mendapat pemeriksaan secara teratur supaya penyakit itu tidak terus berlarutan sehingga menjadi lebih serius. Sekiranya ia menjadi tempat singgah yang kekal bagi batu karang, buah pinggang langsung tidak boleh berfungsi dan ia terpaksa dibedah untuk diganti. Ini semakin membebankan anda kerana pengubatannya amat tinggi. Dan lebih penting membimbangkan mempengaruhi daya seksual anda.

Jadi jagalah buah pinggang anda.

Hernia: Apakah Ia dan Apa Yang Perlu Anda Lakukan

December 28, 2008 by admin  
Filed under Bahasa Malaysia

Hernia

Hernia

Hernia berlaku apabila kecacatan kecil di dinding otot abdomen menyebabkan tisu yang lembut menonjol keluar. Ini kelihatan seperti bonjolan kecil pada kulit dan akan jelas kelihatan semasa anak batuk atau menggeliat. Keadaan yang biasa di alami oleh kanak-kanak ialah hernia pusat. Keadaan ini berlaku di bahagian pusat. Masalah ini disebabkan kelemahan otot pada dinding abdomen semasa kelahiran. Hernia inguinal berlaku di bahagian groin dan biasanya dialami oleh anak lelaki. Kecacatan ini berlaku selepas testikel telah turun ke dalam skrotum. Biasanya hernia pusat tidak memerlukan rawatan kerana keadaan ini akan pulih dengan sendirinya. Hernia inguinal juga boleh pulih sendiri tetapi jika sebahagian kecil usus terperangkap dalam hernia, ini perlu dibetulkan melalui pembedahan.

Adakah keadaan ini serius?

Jika usus tidak terperangkap dalam hernia, keadaan ini biasanya tidak serius.

Tanda-tanda

  • Bonjolan tidak sakit di permukaan kulit berdekatan pusat atau groin yang menjadi besar semasa anak batuk, bersin atau menangis.
  • Muntah dan abdomen terasa sakit jika usus tersepit.

Apakah tindakan pertama?

Cuba tolak hernia dengan lembut. Hernia biasanya boleh ditolak masuk ke dalam dinding otot dengan mengenakan sedikit tekanan.

Perlukah saya berjumpa doktor?

Bawa anak berjumpa doktor dengan segera jika anda melihat bonjolan pada perut bayi yang berumur kurang enam bulan. Bawa anak berjumpa doktor dengan segera jika hernia menjadi keras dan bonjolan tidak masuk apabila ditolak dengan lembut atau anak mengalami kesakitan dan muntah.

Apakah tindakan doktor?

Jika hernia terasa keras atau tidak masuk semula, doktor akan merujuk anak kepada pakar pediatrik. Hernia tersebut mungkin perlu dibetulkan melalui pembedahan. Pembedahan bagi hernia sangat mudah. Jika umur anak anda kurang enam bulan dan dia menghidap hernia inguinal, doktor mungkin akan mengesyorkan pembedahan untuk mengelak usus dari tersepit.

Bagaimanakah saya boleh membantu?

  • Selagi hernia pusat masih wujud, lakukan pemeriksaan dengan kerap, misalnya selepas mandi, untuk memastikan hernia tidak membesar atau menjadi keras. Pastikan juga hernia masuk semula selepas ditekan.
  • Berbincang dengan doktor tentang langkah-langkah yang perlu diambil untuk menentukan sama ada untuk membiarkan hernia pulih dengan sendiri atau dibedah.
  • Pastikan anda membawa anak berjumpa doktor untuk pemeriksaan.

COPD: Tiotropium Boleh Baiki Fungsi Paru-paru

December 28, 2008 by admin  
Filed under Bahasa Malaysia

Kajian UPLIFT bawa berita balk untuk pesakit COPD

Kajian terbaru membabitkan pesakit sekatan pulmonari kronik (COPD) mendapati penggunaan terapi ubat tiotropium (sejenis ubat yang bertindak menyekat tindak balas saraf yang menghalang laluan pernafasan) boleh membaiki fungsi paru-paru sekali gus meningkatkan kualiti hidup.

Kajian yang dinamakan UPLIFT (memahami potensi jangka panjang tiotropium) dijalankan membabitkan 5,993 pesakit di 37 negara seluruh dunia.

Pengarah Institut Perubatan Respiratori, Datin Dr Aziah Ahmad Mahayiddin, berkata hasil kajian ini memberi kesan yang besar kepada pesakit COPD. Namun, apa yang lebih penting dalam pengurusan COPD adalah pengesanan awal dan pencegahan.

COPD seperti yang diketahui tiada ubat kerana amat mus tahil kerosakan pada paru-paru boleh diperbaiki. Rawatan yang ada hanyalah mengawal simptom, mengurangkan risiko komplikasi dan meningkatkan kualiti hidup pesakitnya. Justeru, kajian UPLIFT memang membawa berita balk kepada pesakit COPD.

Dr Aziah berkata, COPD adalah masalah pernafasan kronik yang sangat progres sifatnya. Jika tidak dirawat ia akan menjejaskan kualiti hidup, selain menjadi penyebab utama kematian di seluruh dunia.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dianggarkan tahun lalu, 210 juta orang didiagnos dengan COPD manakala 3 juta kematian berpunca daripada COPD dilaporkan pada 2005. Menjelang 2030, WHO meramalkan ia akan menjadi antara punca utama kematian.

“COPD mempunyai impak yang sangat besar kepada kehidupan pesakit. Dalam kes yang ekstrim ia mungkin boleh menjejaskan keupayaan pesakit melakukan tugas harian contohnya berpakaian,” katanya.

COPD bukan satu penyakit tetapi terma yang digunakan bagi merujuk pada masalah sekatan pernafasan yang disebabkan masalah bronkitis kronik atau emphysema (kerosakan tisu paru-paru yang menyekat aliran pernafasan).

Dalam apa bentuk pun COPD itu, ia akan menjurus pada satu keadaan iaitu sekatan dalam tiub dan saluran udara yang membuatkan paru-paru sukar melaksanakan fungsinya.
Namun, COPD pada asasnya adalah penyakit yang boleh dicegah. Misalnya hampir 90 peratus kes COPD berpunca daripada tabiat merokok.

Bagaimanapun, penyebab COPD sebenarnya lebih banyak bergantung pada kedudukan geografi. WHO melaporkan bagi penduduk di negara berpendapatan tinggi atau pertengahan, merokok adalah punca utama COPD.

Di negara-negara berpendapatan rendah pula, COPD berpunca daripada pencemaran udara dalam rumah seperti penggunaan bahan api yang dihasilkan daripada proses biologi (biomass fuels) untuk memasak.

Di seluruh dunia, hampir 3 bilion orang menggunakan bahan api jenis ini selain arang sebagai sumber tenaga utama untuk memasak, memanggang dan keperluan rumah yang lain. WHO melaporkan dalam komuniti ini, pencemaran udara di dalam rumah adalah risiko utama COPD berbanding merokok.

Selain itu, COPD juga boleh terjadi disebabkan kepada pendedahan kimia dan kekerapan diserang masalah pernafasan ketika zaman kanak-kanak. Diet dan genetik juga berpotensi menjadi punca COPD.

“DI Malaysia, dianggarkan terdapat berjuta-juta pesakit COPD. Justeru,jika tiada langkah dibuat untuk mengesan, mengawal dan merawatnya, ia akan menjadi antara pembunuh utama warga Malaysia,” katanya.

Kajian Kementerian Kesihatan mendapati, masalah pernafasan menjadi antara punca utama kemasukan ke hospital kerajaan di seluruh negara.

Dianggarkan 50 peratus lelaki di Malaysia merokok dengan kebanyakan mereka tinggal di kawasan pedalaman manakala 500,000 penduduk adalah pesakit COPD sama ada pada tahap sederhana atau serius.

Jumlah itu sebenarnya meningkatkan jumlah pesakit COPD di Asia Pasifik kerana di wilayah itu beban COPD bukan sahaja berpunca daripada tabiat merokok malah kerana penggunaan bahan api biologi yang semakin meningkat.
oleh Hafizah Iszahanid, Berita Harian

Presbiakusis Warga Emas, Masalah Kurang Dengar Warga Emas

December 28, 2008 by admin  
Filed under Bahasa Malaysia

Antara kesukaran yang lazim ditemui dalam kalangan warga emas ialah masalah kurang dengar (presbiakusis). Elemen yang sering dikaitkan dengan kemerosotan fungsi pendengaran ini berpunca daripada komponen saraf pendengaran (vestibulokoklea) yang mengalami degenerasi berbanding dengan golongan muda yang lebih banyak berpunca daripada masalah struktur.

Masalah pendengaran ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang mesti berlaku kepada semua orang dan pada tahap yang sama. Ini kerana setiap manusia mempunyai gaya hidup, pekerjaan, taraf penjagaan kesihatan, tempat kediaman dan persekitaran yang berbeza-beza. Kesemua faktor latar belakang ini boleh mempengaruhi tahap kemerosotan pendengaran pada usia emas.

Presbiakusis

Presbiakusis ialah kemerosotan deria pendengaran yang paling kerap dikaitkan dengan proses penuaan. Statistik yang diterbitkan pada tahun 2006 menunjukkan 21.1 peratus daripada warga emas di Malaysia menghadapi masalah berkaitan pendengaran. Sebenarnya, masalah ini lebih kepada proses penuaan dalam fisiologi badan. Ia biasanya terjadi pada lingkungan usia 65 tahun dan boleh terjadi lebih awal.

Faktor yang mempengaruhi tahap kemerosotan jenis sensorineural ini termasuklah keturunan, pendedahan kepada bunyi bising yang terlampau dan berpanjangan atau masalah penyakit sistemik yang lain seperti diabetes mellitus, hipertensi, hipotiroid dan sebagainya.

Gejala

Antara gejala seseorang itu mengalami presbiakusis ialah kesukaran untuk mendengar terutama di persekitaran yang bising walaupun ada ketikanya jelas dalam keadaan senyap. Mereka mungkin menyatakan keupayaan untuk mendengar, tetapi tidak memahami apa-apa yang diucapkan.

Fenomena pengumpulan rangsangan bunyi atau “recruitment” juga sering terjadi, mereka akan secara tiba-tiba mendengar suara yang kuat apabila nada ditingkatkan secara perlahan-lahan. Tidak kurang juga ada dalam kalangan mereka yang datang mendapatkan rawatan hanya kerana mendengar bunyi yang bising atau “tinnitus” di dalam telinga atau kepala.

Rawatan

  • Penjagaan Kesihatan Umum

Adalah penting untuk memastikan keadaan kesihatan umum pesakit berada dalam keadaan optimum, contohnya pengawalan tahap glukosa dalam darah yang baik, pengambilan terapi harmon tiroid mengikut dos dan yang pentingnya sentiasa mengikut jadual janji temu seperti yang ditetapkan. Ini kerana saraf vestibulokoklea adalah seperti saraf-saraf yang lain, terdedah kepada komplikasi yang melibatkan saraf, hasil daripada masalah kesihatan sistemik yang tidak dikawal seperti diabetes mellitus, hipotiroid, penyakit auto imun, jangkitan kuman dan sebagainya.

Sesetengah pesakit juga dibekalkan dengan vitamin (Metilkobalamin) yang membantu melambatkan proses degenerasi saraf ini. Namun, yang lebih penting alah kesedaran pesakit itu sendiri tentang situasi yang dialaminya dan apakah keperluan dan harapan yang ingin dicapai selepas rawatan.

  • Pemeriksaan Telinga dan Pendengaran

Sebelum pergi mencuba apa-apa jua kaedah rawatan yang disyorkan, lebih baik mendapatkan pandangan doktor pakar telinga atau pakar pendengaran (audiologi) untuk menjalani pemeriksaan telinga dan pengukuran tahap pendengaran. Ini kerana tidak semua pesakit sesuai untuk rawatan yang sama.

  • Alat Bantu Dengar

Kaedah yang didapati sesuai untuk membantu memperbaiki tahap pendengaran ialah dengan cara menggunakan alat bantu dengar. Mungkin ramai yang beranggapan bahawa dengan memakai alat ini, akan mendedahkan kekurangan diri mereka kepada masyarakat umum. Ini kerana jenis alat pendengaran yang mereka ketahui biasanya jenis yang lama dan tidak begitu mesra pengguna.

Dewasa ini sejajar dengan peningkatan teknologi, terdapat pelbagai bentuk dan jenis alat bantu dengar ini yang boleh didapati di pasaran. Antara jenis yang sering dipakai ialah alat di belakang telinga, di dalam telinga, di dalam saluran telinga dan di dalam saluran telinga sepenuhnya.

Masalah pendengaran dalam kalangan warga emas merupakan perkara yang bukan jarang-jarang berlaku. Biasanya, ia diakibatkan kemerosotan fungsi saraf pendengaran selari dengan perubahan fisiologi badan dalam proses penuaan. Pemeriksaan doktor amatlah perlu untuk memastikan tiada masalah lain yang menjadi punca kurangnya pendengaran ini.

Alat bantu dengar, yang terdapat dalam pelbagai jenis dan bentuk merupakan salah satu kaedah rawatan yang paling sesuai untuk membantu galongan warga emas untuk menikmati pendengaran yang lebih baik..

Dr. Irfan Mohamad
Pegawai Perubatan Jabatan Otorinolaringologi-Surgeri Kepala dan Leher,
Hospital Universiti Sains Malaysia, Kota Bharu, Kelantan.

Ramai lulusan perubatan tidak jadi doktor

December 23, 2008 by admin  
Filed under Bahasa Malaysia

PUTRAJAYA 2 April – Sebanyak 150 pelajar atau 10 peratus daripada 1,500 siswazah perubatan yang menamatkan pengajian mereka mengambil keputusan untuk tidak meneruskan kerjaya sebagai seorang doktor perubatan bertauliah pada setiap tahun.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad berkata, keputusan tersebut dibuat kerana mereka tidak menyangka kerjaya sebagai seorang doktor bertauliah memerlukan komitmen yang mendalam, selain tekanan kerja yang teruk. Beliau berkata, ia juga mungkin disebabkan faktor usia di kalangan pelajar berkenaan yang terlalu muda ketika mereka berjaya menamatkan pengajian perubatan masing-masing.

‘‘Keputusan tersebut dibuat selepas pelajar berkenaan melalui latihan praktikal di mana-mana hospital atau klinik kesihatan milik kerajaan seluruh negara. ‘‘Ini kerana semasa latihan berkenaan, para pelajar didedahkan dengan suasana dan budaya kerja seorang doktor walaupun belum ditauliahkan oleh kerajaan,”katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian Penggunaan Kemudahan Kesihatan di Hospital/Klinik di bawah Kementerian Kesihatan antara kementerian itu dengan Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Allianze College of Medical Science (ACMC) di sini, hari ini. Turut hadir Timbalan Naib Canselor UM, Prof. Dr. Amin Jalaluddin; Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof. Datuk Dr. Lokman Saim dan Pengerusi ACMC, Datuk Dr. Zainuddin Wazir. Dr. Abd Latiff memberitahu, walaupun peratusannya itu tidak begitu serius tetapi tindakan pelajar berkenaan dilihat telah mempersia-siakan sokongan dan bantuan yang kerajaan berikan sepanjang tempoh pengajian mereka.

‘Tetapi jika keputusan itu dibuat sebelum atau semasa pengajian, kita mungkin boleh menggantikan tempat mereka dengan pelajar lain yang berminat,”katanya. Sehubungan itu, beliau berkata, kementerian menyambut baik langkah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mendedahkan bakal pelajar perubatannya terhadap suasana kerja seorang doktor selama tiga hari yang bermula tahun lalu. Ini kerana, tambahnya, bakal pelajar perubatan perlu memahami budaya dan suasana kerja seorang doktor sebelum meneruskan pengajiannya itu. ‘‘Kita mahu pelajar perubatan yang benar-benar mahu menjadi seorang doktor dan bukannya mereka yang sekadar dipengaruhi oleh desakan pihak lain,” katanya.

Next Page »