Ramai lulusan perubatan tidak jadi doktor
December 23, 2008 by admin
Filed under Bahasa Malaysia
PUTRAJAYA 2 April – Sebanyak 150 pelajar atau 10 peratus daripada 1,500 siswazah perubatan yang menamatkan pengajian mereka mengambil keputusan untuk tidak meneruskan kerjaya sebagai seorang doktor perubatan bertauliah pada setiap tahun.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad berkata, keputusan tersebut dibuat kerana mereka tidak menyangka kerjaya sebagai seorang doktor bertauliah memerlukan komitmen yang mendalam, selain tekanan kerja yang teruk. Beliau berkata, ia juga mungkin disebabkan faktor usia di kalangan pelajar berkenaan yang terlalu muda ketika mereka berjaya menamatkan pengajian perubatan masing-masing.
‘‘Keputusan tersebut dibuat selepas pelajar berkenaan melalui latihan praktikal di mana-mana hospital atau klinik kesihatan milik kerajaan seluruh negara. ‘‘Ini kerana semasa latihan berkenaan, para pelajar didedahkan dengan suasana dan budaya kerja seorang doktor walaupun belum ditauliahkan oleh kerajaan,”katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian Penggunaan Kemudahan Kesihatan di Hospital/Klinik di bawah Kementerian Kesihatan antara kementerian itu dengan Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Allianze College of Medical Science (ACMC) di sini, hari ini. Turut hadir Timbalan Naib Canselor UM, Prof. Dr. Amin Jalaluddin; Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof. Datuk Dr. Lokman Saim dan Pengerusi ACMC, Datuk Dr. Zainuddin Wazir. Dr. Abd Latiff memberitahu, walaupun peratusannya itu tidak begitu serius tetapi tindakan pelajar berkenaan dilihat telah mempersia-siakan sokongan dan bantuan yang kerajaan berikan sepanjang tempoh pengajian mereka.
‘Tetapi jika keputusan itu dibuat sebelum atau semasa pengajian, kita mungkin boleh menggantikan tempat mereka dengan pelajar lain yang berminat,”katanya. Sehubungan itu, beliau berkata, kementerian menyambut baik langkah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mendedahkan bakal pelajar perubatannya terhadap suasana kerja seorang doktor selama tiga hari yang bermula tahun lalu. Ini kerana, tambahnya, bakal pelajar perubatan perlu memahami budaya dan suasana kerja seorang doktor sebelum meneruskan pengajiannya itu. ‘‘Kita mahu pelajar perubatan yang benar-benar mahu menjadi seorang doktor dan bukannya mereka yang sekadar dipengaruhi oleh desakan pihak lain,” katanya.



